20170126

Catatan tentang Temasya Wayang@Budiman dan reviu 'Return to Nostalgia' / '#AntologiROTI'.

Risalah acara Temasya Wayang@Budiman

Risalah ehsan laman Facebook PKAF
Sabtu, 21 Januari 2017 ialah satu hari yang gila. Aku rasa dah banyak kali jugak aku petik nama Pusat Kajian dan Apresiasi Filem / PKAF dalam blog aku ni. Kenapa? Sebab aku penyokong tegar depa ni. Depa ni punya hasrat memang murni; nak ketengahkan dan membincangkan serta menghargai karya-karya hebat seantero dunia dan lebih fokusnya sinema Asia yang atas sebab tertentu tak masuk dalam radar penonton filem Malaysia dalam skala kecil. Diorang ni dah lama wujud sebenarnya, sejak 2012 lagi. Tapi, diorang baru mula menonjolkan diri secara perlahan menerusi sesi tayangan filem diorang yang pertama iaitu Wayang@Budiman pada tahun 2015 dan kini telah mula melebarkan sayap depa di luar Alam Budiman serta menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan sinema secara kecil-kecilan mahupun besar-besaran. Siapa sangka, usaha murni depa ni dah masuk pun masuk tahun ke-2. Demi menghargai khalayak yang berterusan menyokong dan juga hangpa yang baru berjinak nak mai ke slot tayangan sebegini di samping meraikan sinema itu sendiri, depa adakan satu Temasya untuk meraikan perkara tersebut.

Ruang yang agak sempit di rumah kedai dekat Alam Budiman tu serta jaraknya yang agak hulu tu tak menghalang para pencinta sinema lokal, Asia dan antarabangsa untuk datang berdiskusi pasal filem. Acara ni bukan acara biasa-biasa. Orang-orang yang dijemput untuk slot pertama Temasya tu bukan calang-calang orang; semuanya player industri filem Malaysia yang ada kalibernya tersendiri. Lepas tu, ada pulak dokumentari pasai usaha seorang pembikin filem mencari antara filem terawal Malaysia yang dikatakan telah hilang. Kemudian, tiba-tiba dapat tetamu tak diundang yang mengejutkan! Pada malam hari, kemuncaknya pulak ialah tayangan filpen (baca: filem pendek) yang dihasilkan oleh para khalayak yang sering datang ke sesi Wayang@Budiman hampir setiap malam bertemakan roti yang kita selalu jumpa kat kedai mamak yang dinamakan #AntologiROTI (dua filpen dalam antologi ni aku tolong buat sarikata; ada jugak kerja terjemahan aku yang lain kat sini 😆). Mari selami perasaan aku pasal acara ni (amboi!).

Sesi 1: Pandangan aku tentang Diskusi Meja Bulat Matinya Kritikan Filem di Malaysia
Risalah sesi Diskusi Meja Bulat: Matinya Kritikan Filem di Malaysia

Risalah ehsan laman Facebook PKAF
Aku dengan adik aku ingat dah lambat; rupa-rupanya tepat pada masanya! Memandangkan aku memang tak reti buat filpen mahupun cereka aku sendiri, aku lebih suka mengulas kerja orang lagi sebab meluahkan perasaan lebih senang daripada mencipta perasaan yang tak ada. Jadi, sesi ni memang aku tunggu jugak; aku nak tau pasai pa tajuk diskusi ni macam nak cari gaduh. Sebenarnya, depa nak cakap pasal kritikan filem di Malaysia yang dikatakan hampir lenyap tu disebabkan beberapa faktor yang menarik.

Kencang je 'meja bulat'; mejanya takde pun. 😆
Lagi satu, ni je gambar para jemputan yang ada untuk sesi ni.

Foto ehsan laman Facebook PKAF / Instagram Wayang@Budiman

Panel yang dijemput kebanyakannya ada nama jugak: daripada kanan ke kiri, kita ada Sayidah Mu'izzah (blogger filem), A. Wahab Hamzah (pengkritik filem senior), Fadli al-Akiti (pengkritik filem era baru, tok guru aku 😂, editor majalah, dan blogger filem), Ridhwan Saidi (pembikin filem yang turut mengarah salah satu filpen #AntologiROTI, penulis, pelukis dan pemuzik menggunakan nama Joni Atari), Laqman al-Jefri (pengkritik filem), Shanjhey Kumar Perumal (pembikin filem yang sedang meningkat naik dan pengarah Jagat), Daniyal Kadir (pengkritik filem dan penulis serta pengarah salah satu filpen #AntologiROTI) dan akhir sekali Haris Sulong (penerbit filem dan pembikin iklan). Moderator sesi ni sudah tentu Dr. Norman Yusoff, penysarah aku dulu dan pengkaji filem.

Daripada apa yang aku dapat, rata-ratanya kritikan filem dianggap mati kerana banyak faktor. Antaranya yang paling ketara ialah kewujudan media sosial yang membolehkan sesiapa pun jadi pengkritik filem, sampai mereka yang dikatakan profesional atau minat dalam bidang ni seakan-akan tak diambil serius serta sistem pendidikan kita yang tak menganggap seni sebagai salah satu keperluan bagi anak-anak sampaikan contohnya, subjek KOMSAS (pendek untuk Komponen Sastera) tu pun dah ditentukan skema jawapan tentang 'apresiasi' satu-satu karya tu dan subjek Muzik selalunya pentingkan main rekorder dan tak benarkan pelajar meneroka muzik itu sendiri yang lebih meluas. Distinction dan kekeliruan yang masih diperdebatkan terhadap pengkritik filem dan pengulas filem serta kaitannya dengan kritikan filem bersifat ilmiah turut diutarakan dalam Diskusi Meja Bulat tu. Bagi aku, kritikan filem ni sepatutnya diterima sebagai 'krew' dalam sesebuah produksi filem secara tak langsung sebab tanpa kritikan, takuk tu jugaklah filem kita sebab kalau semua sempurna, mananya nak hasilkan filem yang lebih berkualiti supaya filem tu jadi budaya kita. Pengkritik juga penting dalam menekankan bahawa filem ni jugak satu bentuk buah fikiran setanding dengan subjek Matematik dan sebagainya, sebab dalam filem tu sendiri, bergantung kepada subjeknya, perlukan penyelidikan yang tinggi supaya sampai apa yang nak dipersembahkan. Kalau pakai buat ja, korang jugak komplen sebab serabut. Aku rasa, kritikan filem ni memang penting, dan masih belum mati. Kira bagus jugaklah "everyone's a critic"; sekurang-kurangnya, panjang jugaklah hayat filem-filem bagus mahupun tak bagus yang telah dibikin daripada dibiarkan hanyut (jangan marah haa, U-Wei; tak sengaja ni) biarpun ada yang tak berapa nak membantu sangat; at least orang masih sudi nak ingat.

Aku rasa, diskusi macam ni sama pentingnya dengan sudut-sudut mainstream dalam filem yang sering diperbincangkan secara sensasi mahupun secara serius. Tahniah sebab membuka mata mereka yang aku harap bukanlah peminat tegar filem yang datang pada hari tu faham akan pentingnya filem serta kritikan filem tu sendiri di Malaysia ni. Terima kasih atas perbincangan macam ni. Barulah rasa apa aku cuba nak buat bertatih ni bermakna. Hehe. Sejam lepas tu, masuk pulak ke sesi kedua.

Sesi 2: Reviu dokumentari Return to Nostalgia

Risalah sesi tayangan Return to Nostalgia

Risalah ehsan laman Facebook PKAF / Instagram Wayang@Budiman

Aku macam pernah nampak dekat mana entah pasal dokumentari ni. Apa yang menarik perhatian aku ialah tujuan pembikin dokumentari ni, Woo Ming Jin (pengarah filem KL Zombi, adaptasi novel Fixi Zombiejaya menggunakan nama MJ Woo) membikinnya. Butiran ringkas pasal dokumentari ni ada dalam risalah di atas. Oh ya, reviu ni ada SPOILER RINGAN.

Ya, premisnya menarik. Perjalanan pengarah filem ni yang agak bersimpang-siur dalam mencari filem yang memang hampir tak ramai ke tiada penonton yang pernah tonton filem ni yang dikatakan usaha yang sangat rare dan difilemkan zaman masih berlakunya penjajahan pihak Jepun dan menggabungkan kaum Melayu dan Cina dalam satu filem memang ada harapan untuk jadi compelling. Semuanya bermula semasa dia dapat satu mimpi fantastikal yang tak berkaitan sangat pun dengan plot filem ni tapi melibatkan protagonisnya. Establishment perjalanannya bersama para krew yang turut sikit-sikit menceritakan tentang kontroversi atau kisah-kisah yang berkaitan dengan promosi dan tayangan filem Seruan Merdeka tu sendiri dan berjumpa dengan penonton filem ni mahupun saksi zaman penjajahan/peperangan Jepun ketika zaman yang disebutkan tu berjaya menimbulkan empati dalam diri setiap penonton sebab diorang faham filem sepenting ni memang rugi kalau tak dapat ditayangkan pada khalayak ramai.

Tapi, ikut selera sesetengah penonton, ada yang tak berapa setuju dengan Woo Ming Jin ni celah penamatnya setelah dapat apa yang dia inginkan, di mana mereka berpendapat penamat tu membunuh momentum melankolik yang dibina sepanjang durasi filem ni. Bagi aku, penamatnya tu sebenarnya satu homage, tapi ada yang berpendapat penamatnya mengatakan yang si pengarah ni sinikal terhadap nostalgia itu sendiri. Apa pun tujuannya, lepas sesi diskusi dokumentari ni, aku sendiri yang separa setuju dengan penamatnya bersama penonton yang lain masih tak dapat jawapan kenapa Woo Ming Jin buat apa yang dia buat pada penamatnya sebab dia sendiri tak ada dalam diskusi tu untuk menerangkan hasrat sebenarnya.

Maka tamatlah sesi kedua pada jam lebih kurang 4 atau 4.30 pm macam tu. Sekejap je durasi dokumentari ni. Lama jugak nak tunggu pukul 8 pm ni. Cadangnya nak jalan-jalan tanpa arah ja atau lepak rumah kawan adik aku yang berdekatan. Tiba-tiba ada tetamu yang langsung tak dijemput memunculkan diri sebelum niat kitorang dapat diteruskan!

Sesi tambahan: Dato' Kamil Othman!

😲😲😲

Bagi sesiapa yang peduli pasal industri filem, korang taulah mamat ni memang disanjung komuniti pemain industri serta peminat tegar filem Malaysia. Kini, Dato' Kamil Othman tiba-tiba munculkan diri dengan berpakaian agak santai!

Siapa dia? Dia dulu pernah jadi Ketua Pengarah FINAS bagi tahun 2015 ke 2016; tempoh yang agak sekejap bagi seorang bervisi besar dan boleh dikatakan sentiasa ada dekat mana-mana acara atau temasya berkaitan dengan filem. Dia jugak rasanya satu-satunya Ketua Pengarah FINAS yang sangat dekat dengan rakyat dan para penggiat seni secara terus melalui slot #TanyaKP yang selalu diadakan di Cinematheque@FINAS (atau pernah/masih lagi dikenali sebagai Content Pitching Centre), Platinum Sentral.

Pelik jugak dia pi mai sini sorang-sorang LEPAS dua sesi Temasya Wayang@Budiman hari tu telah berlalu. Ingatkan dia saja nak buat site visit ke apa lepas dia jadi balik Timbalan Presiden Asian Film Comissions Network. Rupa-rupanya, saja ja nak lepak sembang kencang! Bukannya sekejap tau, tapi dalam lebih kurang 3 jam jugaklah dia meluahkan segala perasaan dan sudut politik industri perfileman Malaysia ni, di samping berkongsi minat filemnya dan pengalamannya pergi ke sana-sini mencari idea untuk memantapkan industri kita. Hampir semua perbualan antara kami semua yang masih lepak di PKAF ada dirakam adik aku, tapi dia simpan sendiri ja. Memang mencabar betul nak cuba ubah industri dalam masa yang terlalu singkat. Terharu rasanya sebab dia sanggup luangkan masa datang ke ceruk dunia semata-mata nak lepaskan geram dia sepanjang jadi Ketua Pengarah FINAS dulu biarpun sebenarnya dia ada function dalam masa terdekat pada hari tu pada kami ni semua. Aku rasa bagilah apa gelaran duniawi Datuk Paduka Meja Hulubalang ke apa kat dia, dia memang patut dihormati kerana usahanya. Dia jugak sangat cool sebagai seorang manusia, itu lebih penting. Rugi siapa balik awal.

Maka, disebabkan dia berjaya mengurangkan sela masa untuk tiba ke acara kemuncak Temasya Wayang@Budiman, takdelah sakit sangat nak menunggu lama kat situ. Yeah!

Sesi 3:  Reviu filpen-filpen dalam #AntologiROTI

Risalah untuk #AntologiROTI

Risalah ehsan laman Facebook PKAF / Instagram Wayang@Budiman
 
Ini dia! Yang ditunggu ramai sudah tiba! Entah kenapa, roti yang dijumpai kat kedai mamak dijadikan tema bagi antologi filem pendek yang aku rasa julung kali dipersembahkan oleh PKAF. Siapa punya idea ni? Ada-ada jelah hangpa ni. Tapi, apa yang pasti, interpretasi setiap pembikin filpen ni semuanya unik belaka dan memang mengagumkan! Macam mana idea-idea ni boleh keluar? Ini boleh saing KOPI ah ni. Bila nak compile? Hihi. Aku nak beli!

Oh ya, setiap filpen ni dimulakan dengan penerangan tentang roti pilihan pembikin yang ditulis oleh Muz Amer dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh aku. Yosh!  Memandangkan semuanya filem pendek, aku rasa macam kalau spoil je plot dia takpa kot. Sebab yang penting dalam filpen ialah apa yang nak disampaikan secara tersirat/tersurat.

Roti Banjir
Pengarah, penulis: Shafiq Shamsul a.k.a. Fiq Sam
Studio: RG Studio
Roti pilihan: Roti banjir

Poster ehsan laman Facebook pengarah
Filpen ni tentang Hitler Mui, seorang pembunuh upahan yang tugasnya membunuh mereka yang dah sampai ajalnya. Tapi, mestilah namanya pun filem pendek, jadi mangsanya dalam filpen ni sorang ajelah. Dari segi visual, kamera serta muziknya, memang sah kuat pengaruh Western dan mana-mana filem yang ada pembunuh upahan (disebabkan latar tempatnya, apa aku boleh bayangkan hanyalah Breaking Bad); semuanya dibuat secukup rasa dan sedikit stylized, tapi biasalah gaya orang muda bikin filpen 😝. Perlambangan roti banjir tu jugak digunakan agak mendalam. Aku kurang sikit nak menerangkan falsafahnya dekat sini, tapi yang pasti interpretasinya menarik. Tapi, yang aku sememangnya boleh nampak dan semua orang pun boleh nampak ialah pembunuh upahan ni memang secara blatant ialah personifikasi malaikat maut atau Grim Reaper yang tugasnya mengambil nyawa manusia yang ajalnya dah tiba. Ada yang kurang rasanya, tapi masih terpaksa diterima ialah kalau dapat pelakon lebih sesuai, aku rasa sampai lagi ceritanya.

Ultra-MeNAANtu

Pengarah, penulis: Daniyal Kadir
Roti pilihan: Naan

Foto ehsan laman Facebook pengarah
Filpen ni nampaknya tak ada poster mahu pun trailer. Apa yang aku jumpa hanyalah screencap daripada filpen tu sendiri yang diambil dari profil Facebook pengarahnya. Ini antara filpen yang sangat straightforward antara semua filpen #AntologiROTI. Roti naan tu tak ada sebab mendalam; cuma nak buat permainan kata atau pun dengan perkataan menantu. Ultra tu pulak berkait dengan ketaksuban kedua-dua watak filpen ni terhadap pihak yang mereka sokong walaupun si muda tu ingin melamar anak si lebai bersongkok tu. Semua isunya jelas difahami menerusi dialognya. Air tu pun aku rasa korang faham kot maksudnya apa; fokus pada warnanya. Ya, filpen paling mudah dihadam, tapi masih berkesan kerana sinikalnya tajam tapi tak menyakitkan hati sesiapa; susah nak jumpa filem atau filpen yang ada keseimbangan macam tu. Sesuai untuk tayangan semua peringkat umur bagi aku.

Roti Bom
Pengarah & penulis: Isyraqi Yahya
Roti pilihan: Roti bom

Malang sekali, filpen bekas rakan sebilik dan rakan sekelas aku ni langsung tak ada sebarang trailer mahupun poster untuk tujuan visualisasi, jadi aku hanya mampu cerita saja pendapat aku dan sedikit plotnya. Nak dijadikan cerita, ada sorang mamat ni lepas makan roti bom, orang akan mati meletup lepas dia batuk. Dia pun meminta pertolongan seorang lelaki misteri bernama Mr. Billis untuk hilangkan masalahnya, tapi dengan syarat adik perempuannya harus dijadikan "bayaran."

Apa yang paling menarik tentang filpen ni ialah pemilihan rupa visualnya. Apa aku boleh cuba terangkan tentang visual filpen ni ialah bayangkan filem Blair Witch Project dibikin pada era 40-an atau 50-an sambil pembikinnya menikmati marijuana gred tinggi; itulah gaya hasilnya. 

Dari segi visual, filpen memang sarat dengan filter seakan-akan pita video yang rosak teruk, ditambah pulak dengan shaky cam, tapi apa yang lebih memeranjatkan ialah Isyraqi sendiri yang turut mengendalikan kamera dan proses suntingan berjaya menyempurnakan teknik 'dolly zoom' atau 'Vertigo effect' yang lebih lancar dalam filpen Roti Bom ni berbanding filpennya sebelum ni iaitu Dain dengan hanya menggunakan Handycam Sony, teknologi yang dikatakan hampir mati! Benda ni agak teknikal untuk diterangkan dan aku sejujurnya pun mana reti benda macam ni; tapi aku taulah itu Vertigo effect bila aku tengok. Handheld kot! Menarik! 

Dari segi lakonan, skrip, dan idea, aku suka akan kejujuran Isyraqi. Filpen ni memang nampak macam orang noob yang macam taktau macam mana nak buat filem, dubbing-nya ke laut dari sudut kualiti, dan para pelakonnya pun bantai je ikut skrip tanpa bukak mulut. Katanya, memang si Isyraqi ni nak buat homage 'trash cinema;' dengar nama ja dah tau dah filem 'genre' macam ni rupanya macam mana. Bagi aku, dari sudut idea, kritikan kapitalisme dan apa entah... anti-feminisme kot... itu sebenarnya hadir bila dah habis dan sedang dibincangkan pada malam tu. Jadi, filpen ni tak berapa nak sampai penyampaiannya. Tapi, aku suka pembikinannya! Sengaja dibuat hancur! Bagi aku, Walid Mahu Bikin Filem masih lagi filpen pilihan aku.

Elizabeth Joyah dan Rachun Wanita
Pengarah: Alee Isa, Tina Yusof 
Penulis: Alee Isa
Studio: TAPAU.tv
Roti pilihan: Roti sardin

Poster ehsan Instagram pengarah
Parodi genre film noir bukanlah sesuatu yang baru sebenarnya di Malaysia ni. Abang Mamat Khalid dah pun buat sebegitu melalui filem cerekanya Kala Malam Bulan Mengambang. Tapi, berbanding KMBM yang masih mengekalkan ciri asal film noir yang diberikan unsur komedi, filpen ni pulak pergi subvert semua ciri seperti detektif banyak isu yang sepatutnya lelaki dan femme fatale yang sepatutnya perempuan! Ia jugak mengangkat isu remeh-temeh tentang gender dan pemilihannya tepat dalam membangkitkan unsur komedi yang dibantu oleh suntingan, rujukan visual dan penyampaian dialog yang agak snappy walaupun aku kurang berkenan dengan skrip rojaknya. Menghiburkan!

Roti Bakar
Pengarah, penulis: Walid Ali
Studio: Peanutzin
Roti pilihan: Roti bakar

Poster ehsan laman Instagram pengarah

Selepas Roti Bom, Roti Bakar ni jugak agak eksperimental bagi aku. Sequence permulaan dan penamatnya yang agak meleret tapi underwhelming dan ditemani petikan gitar yang sedang tuning sebagai muzik latar belakang hampir menyerupai pembukaan After Last Season, filem yang dikatakan sangat buruk dalam erti kata yang buruk, tak seperti The Room yang diraikan dan dianggap "Citizen Kane bagi filem buruk." Selepas tu, aku dihidangkan dengan props dan lokasi yang agak aneh; latar tempatnya ialah jalan raya tak berpenghuni, manakala propsnya adalah roti bakar atas papan seterika dan ada juga mesin seterika, disusuli dengan kehadiran watak lelaki lakonan Walid Ali. Kemudian, datang watak si wanita lakonan Ermi Iryana membawa bagasi dan... terjadilah suatu persembahan tanpa dialog.

Ya. Penceritaan filem ni bergantung semata-mata kepada pergerakan, mimik muka serta penggunaan props dan sedikit bunyi non-diegetic. Aku boleh faham approach filpen ni sebab Walid Ali memang major-nya dalam teater dan bidang tu memang mementingkan persembahan pelakon. Menurut pengarahnya, filpen ni berkisarkan tentang perhubungan antara wanita dan lelaki yang tak nampak penghujungnya. Dia kata filem yang berjaya ketengahkan subjek sebegini hanyalah (500) Days of Summer dan tak banyak selain daripada tu yang mahu berkata tentangnya.

Aku tak taulah nak kata best ke tak filpen ni, sebab... dia punya unik lain macam, nak hargai apatah lagi. Cumanya, baguslah dia buat kot? Entahlah. NEXT!

Oddie & Poori: Dokucing
Pengarah: Zara Suryani
Studio: 9:33 Pictures
Roti pilihan: Puri

Poster ehsan laman Instagram pengarah

Ah, puri. Masa aku sekolah rendah dulu, memandai je depa pi market puri sebagai roti canai. Padahal itu dua benda yang sangat berbeza! Okey. Ini bukan cerita pasal aku, tapi pasal seekor kucing bernama Oddie yang sering ditinggalkan oleh tuannya yang suka makan puri, iaitu pengarahnya sendiri, Zara Suryani. Korang rasa apa kucing buat dan ke mana ia pergi apabila ditinggalkan di luar rumah dengan sendiri? Filpen ni meneroka persoalan tersebut daripada mata Oddie sendiri. Kejap. Apa dia? Dari sudut pandang Oddie si kucing?

Menurut pengarah, dia tak pernah membayangkan dirinya sebagai seorang pengarah kerana selama ni dia tahu dia hanyalah seorang penulis. Jadi, bila dipelawa untuk sertai sekali projek #AntologiROTI ni, dia terkejut. Maka, terhasillah debut-nya sebagai pengarah dengan harapan ingin menyahut cabaran tu. Sememangnya cabaran tu telah disahut. Nak tengok mockumentary yang bukan komedi? Inilah jawapannya. Bagi arahan pertamanya, idea Zara ni bagi aku memang lain macam. Mana taknya, kita seakan-akan tengah jadi kucing semasa menonton filpen ni, seakan-akan kitalah Oddie yang sedang ditinggalkan lalu berlegar-legar di alam sekeliling tanpa arah tuju, terima kasih kepada kamera DSLR yang diterbalikkan pemegangnya dan digantungkan hampir mencecah lantai sambil membuat pergerakan kamera yang menyerupai pergerakan kucing. Inilah dia apa aku gelarkan "first-cat view" (faham tak?). Memang genius dan kita boleh rasa kesunyian Oddie dalam filpen ni. Gigih sungguh pengendali kameranya acah-acah jadi kucing!

Kaitannya dengan puri? Si pengarah baru mengingatkan aku akan kaitannya menerusi komen di Facebook yang pada asalnya aku ingat dia letak semata-mata sebab itu sarapan kegemarannya:

It looks big but empty inside, macam hati Oddie yang kosong sebab selalu ditinggalkan. And the new keeper bagi sepinggan poori terus kat Oddie, not cubit-cubit as this symbolises his heart full of love towards Oddie, hence the cat 'decides' to follow him back.

Apa-apa pun, aku suka filpen ni disebabkan perspektifnya yang sangat segar. Debut yang kuat bagi pengarahnya!

Roti Tampal atau; Gadis Dari Kosmos Lagi Satu
Pengarah, penulis: Muzzamer Rahman
Studio: Le Mediator Studio
Roti pilihan: Roti tampal

Poster ehsan laman Instagram pengarah / Le Mediator Studio

Ini salah satu daripada filpen yang aku tulis sarikatanya. Filpen ni memang betul-betul semacam tajuknya: daripada poster ke "kesan khasnya" semua gunakan kesan tampal-menampal yang merujuk kepada roti pilihan sutradaranya, roti tampal. Filpen ni mengisahkan... sila baca tajuknya, maka tahulah filpen ni pasal apa, dan wataknya ialah gadis dalam poster tu yang ada kain dililit atas kepalanya.

Filpen ni mula-mula aku ingat deep habis sebab skripnya yang sangat minimalis dan berulang-ulang motif tampalnya, ditambah pulak dengan motif kaleidoskop yang turut "ditampal" pada babak tertentu. Rupa-rupanya, roti tampal dipilih sebab ada sejarah peribadi di sebaliknya dan roti tampal memang kegemaran pengarah pun. Lagi satu, dia sebenarnya nak bikin filpen fiksyen sains, tapi masa dan sumber terhad tak mengizinkan; maka, jadilah motif tampal-menampal dan mise-en-scene, suntingan, serta lakonan yang agak minimalis. Paling best, sebenarnya filpen ni adalah kritikan halus terhadap pembikinan filem dan bagi aku, filpen ni jalinan naratif serta semangatnya seakan-akan filem Anita: Dunia Ajaib yang hampeh teruk tu, tapi ini lebih power dibikin! Jangan marah ya, Muz. Hehe.

Roti Kosong: Perjalanan Menempuh Kekecewaan
Pengarah, penulis: Hary Harith
Studio: Peanutzin
Roti pilihan: Roti kosong

Poster ehsan laman Facebook pengarah
Ini filpen kedua seorang lagi kawan sefakulti, kawan sekelas aku zaman diploma, dan teman bilik aku dulu. Dia sebenarnya ada filpen pertama, tapi filpen tu tak pernah dapat ditayangkan atas sebab tertentu. Macam Dain Said tak?  Tapi, bezanya filpen pertama kawan aku ni bukannya kena ban. 😅

Filpen ni ceritanya juga straightforward dan tajuk korang baca tu, itulah plotnya. Budak ni kecewa pasal masa depan dia, tapi dia terus berjalan sampailah jumpa kedai mamak; dia order roti kosong, lepas tu terus ada sinar harapan di matanya. Habis.

Bunyinya macam biasa je, kan? Kalau sekali tonton, memanglah macam tu. Tapi, kalau korang follow dialog dia dan selami kekecewaannya, lepas tu ikut je perjalanannya ke kedai mamak yang terdiri daripada lokasi-lokasi sekitar Taiping tak silap aku yang penuh kehijauan, sampailah masuk shot roti canai, korang akan ada rasa terapeutik sebab roti kosong tu korang akan isi dengan angan-angan korang tentang masa depan yang cerah. Betul. Aku tak tipu. Tengok filpen ni rasa tenang dan korang akan turut rasa harapan masih ada bila kamera menghala ke roti canai lepas tu kembali ke muka pelakon ni (dia ni sebenarnya adik pengarah).

Dari segi teknikal, senang je filpen ni dibikin. Pacak kamera sikit, rakam. Itu je. Lepas tu, ada intertitle cards seakan-akan filem era bisu dulu di tengah-tengah shot tertentu. Aku rasa tak ada sorang pun mengomel pasal tu; bagi aku, itu novelti yang tak mengganggu sesiapa. Malah, bagi rasa artistik sikit.

Ya, tontonan filpen ni buat aku rasa tenang. Itu saja.

Linguistik Kedai Makan
Pengarah: Bebbra Mailin
Penulis: Muzzamer Rahman
Studio: Le Mediator Studio
Roti pilihan: Tosai

Poster ehsan laman Instagram Le Mediator Studio

Ini pulak filpen kedua yang aku bikin sarikata. Filpen ni pulak tentang dua kejadian yang berlaku back-to-back; dua orang kawan berbual tentang filem dan sepasang lelaki dan wanita bisu sedang menyelesaikan konflik, di mana kedua-duanya berlaku di kedai makan yang sama.

Bagi aku, filpen ni mempunyai elemen realisme magis. Ya. Sebab, isi perbualan dua orang lelaki tu hampir menyerupai situasi pasangan lelaki dan wanita yang bisu tu. Mulut depa masin kata orang, atau pun memang menepati kata-kata daripada Oscar Wilde dan Aristotle. Yang brader lelaki dua ekor tu lakonan depa memang natural, jadi takde apa nak cakap sangat. Bahagian depa tak memerlukan emosi sangat. Bahagian pasangan lelaki perempuan tu yang power; depa ni bisu! Walaupun begitu, emosi depa sampai biarpun hanya pakai bahasa isyarat, terima kasih kepada ekspresi muka kedua-duanya lagi-lagi pelakon perempuan tu.

Dari segi teknikal, selain daripada establishing shot, filem ni semuanya sebabak; hanya dirakam dengan satu take! Amik kau, Birdman! Langsung tak nampak canggung transisi 'babak' dua sekawan ke pasangan bisu tu! Jenuh tu nak rehearse banyak kali sampai nampak sempurna macam tu! Tabiklah, Ms. Bebbra!

Roti Tisu atau Sebuah Filem Tentang Kiamat

Pengarah, penulis: Ridhwan Saidi
Studio: Binfilem
Roti pilihan: Roti tisu

Poster ehsan Instagram pengarah
Kini tibalah filpen terakhir. Memang saja ja letak jadi filpen terakhir, taulah filpen ni pasal hari kiamat. Siapa yang hati tisu pasti akan terkesan dengan babak pembukaan filpen ni; pengakuan para pelakon yang tak nampak macam baca skrip (sebab memang depa tak baca skrip) tentang perasaan mereka apabila hari keramat tu berlaku. Kemudian, disusuli satu take yang sangat panjang dan memeritkan yang merakam reaksi sedih mereka mengenangkan apalah nasib mereka semasa hari kiamat sedang berlaku.

Sekali lagi, Ridhwan Saidi dan pemikirannya. Bahagian yang diatur terlebih dahulu hanyalah bebanan literal yang watak si Walid Ali perlu pikul sehinggalah dia dan para pelakon lain "menyaksikan hari kiamat berlaku" serta paparan roti tisu yang bercahaya di atas meja. Filpen ni bagi aku seperti separa dokumentari, separa mockumentary. Bahagian pengakuan di permulaan filem ni memang memberi impak dalam mengeluarkan emosi takut dan sedih yang diperlukan pada babak extreme close-up setiap watak seperti yang ada dalam poster bagi mewajarkan relevannya tajuk filpen ni; kiamat itu pasti dan tisu tak boleh keringkan air mata ketakutan kita (dalam kes ni, roti tisu yang digunakan tak berapa efektif dalam menyerap kelembapan air mata; lagi kasi minyak ada). Aku nampak ia berjaya dilakukan. Rasa cuak dan powerless. Mudah penyampaiannya tapi sangat berkesan.

Akhir kata
Semuanya dah diperkatakan. PKAF dan inisiatif Wayang@Budiman mereka memang beri impak pada aku. Beri harapan pada aku bahawa apresiasi filem tak pernah mati, malah beri inspirasi kepada kita semua untuk terus berkarya dan membudayakan filem sebagai alternatif lain mendapatkan ilmu. Kalau semua yang aku bebelkan ni tak meyakinkan korang bahawa filem memerlukan ilmu untuk hasilkan karya yang pelbagai which in turn akan menyampaikan ilmu tu kepada sesiapa yang menontonnya, tak tahulah apa nak cakap. Aku seronok jadi sebahagian daripada komuniti kecik ni biarpun hanyalah sekadar penonton dan penterjemah murahan (hehe). Semoga inisiatif ni berterusan dan rasa intimate sampai bila-bila.

Harap buatlah Temasya ni acara dwi-tahunan, sama macam hangpa buat Wayang@Budiman tu tayangannya dwi-mingguan! Ganbatte-ne! BANZAI!

Gabungan penghuni hampir tetap dan jarang datang. Gambar ni comel!

Foto ehsan laman Instagram Ridhwan Saidi

No comments: